KUANTAN – Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di sini menahan seorang lelaki bersama 200 karton rokok seludup dalam sebuah kereta di Jalan Wong Ah Jang di sini, awal pagi semalam.
Komander pasukan ACP Zulkafli Sariaat berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM40,000.
Katanya ketika serbuan pada 2.30 pagi itu, lelaki tempatan berumur 56 tahun itu memandu kereta tersebut.
Rokok seludup pelbagai jenama itu ditemukan dalam beberapa bungkusan plastik dan kotak besar berwarna coklat yang ditutupi dengan plastik hitam di tempat duduk penumpang dan but kenderaan tersebut, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Kami percaya rokok tersebut untuk dijual kepada perokok tegar sekitar daerah ini khususnya di pesisir Sungai Kuantan memandangkan permintaan kepada rokok murah sangat menggalakkan,” katanya. – BERNAMA