ALOR SETAR – Polis merampas dua lagi pucuk pistol yang disembunyikan di dua lokasi berasingan dalam Op Api Laras Kawaii pada Selasa dan Rabu lepas, susulan rampasan sepucuk pistol Revolver dalam kes pergaduhan di Kulim, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Jalil Hassan berkata berdasarkan pengakuan suspek lelaki yang ditahan pada Ahad lepas, dia dan rakan lelakinya masih memiliki beberapa pucuk pistol yang disembunyikan di beberapa tempat.
Sehubungan itu, Abdul Jalil berkata polis membuat serbuan pertama di sebuah rumah dua tingkat di Lorong Sekolah Convent, Kulim pada Selasa dan menemukan sepucuk pistol semi auto jenis Glock 3C Austria 45 bersama 49 butir peluru hidup.
Dalam serbuan kedua pada awal pagi Rabu di Taman Selaseh, Kulim, polis menemukan sepucuk pistol tiruan berserta sarung pistol, dua butir peluru hidup, sepasang gari berserta sarung hitam dan topeng muka, katanya.
“Kedua-dua senjata api itu ditanam di halaman rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
“Ekoran penemuan senjata api dan peluru ini, dua suspek lelaki berumur 32 dan 34 tahun berasal dari Kulim ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu.
“Siasatan awal menunjukkan pistol itu digunakan untuk perlindungan diri dalam menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.
Ahad lalu, polis menahan tiga suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia 32 hingga 34 tahun serta merampas sepucuk pistol jenis Revolver yang digunakan dalam kes pergaduhan di sebuah kafe di Kulim. – BERNAMA