JAKARTA – ‘Sabar itu istana iman’. Berkat kesabarannya, seorang anggota polis, Aiptu Sutisna, mendapat habuan di luar jangkaan apabila kerajaan Arab Saudi menghadiahkannya pakej mengerjakan fardu haji tahun depan.
Aiptu tidak menduga sama sekali kesabarannya menjalankan tugas ketika insiden dicakar dan dimaki hamun oleh seorang wanita, mendapat perhatian dunia setelah tersebar dalam media sosial.
Kaitan: Wanita ‘Belasah’ Polis Kawal Jalan Tidak Sesak
“Ini tidak diduga, saya memang baru menyimpan untuk menunaikan haji tetapi rezeki saya dapat pergi lebih cepat dengan tajaan,” katanya kepada wartawan seperti yang dipetik media dalam talian di sini hari ini.
Pada kejadian dua minggu lepas, seorang wanita penjawat awam dikenali sebagai Dora telah mengamuk dan mencakar badan Aiptu serta memaki hamunnya disebabkan tindakan tegas anggota polis itu mengeluarkan saman atas kesalahan Dora memasuki laluan bas.
Aiptu kemudiannya membuat laporan polis mengenai tindakan wanita terbabit yang menyerangnya ketika menjalankan tugas.
Dua hari selepas kejadian itu, Dora hadir ke balai polis untuk memohon maaf atas kelakuannya dan Aiptu pun menarik semula laporan polis serta menganggap isu itu telah selesai secara baik.
Terdapat pihak yang membuat rakaman video insiden itu dan menyebarkannya dalam media sosial sehingga mendapat perhatian dan pujian Kedutaan Besar Arab Saudi di Indonesia.
Semalam, Duta Besar Arab Saudi di Indonesia Osama Al Mohammed Al-Shuaibi mengundang Aiptu ke pejabat kedutaan itu untuk menerima hadiah tajaan menunaikan ibadah haji tahun depan.
“Perasaan saya sangat terharu dan bangga, tidak menyangka buah kesabaran saya berhasil manis,” kata Aiptu.
Anggota polis itu berkata apabila berada di Tanah Suci nanti, dia akan mendoakan kebaikan Dora dan semoga semuanya berjalan lancar.
Sementara itu, Dora dipetik sebagai berkata dia turut gembira dengan hadiah yang diterima Aiptu dan menurutnya anggota polis berkenaan sememangnya layak menerima hadiah seumpama itu. – BERNAMA