JOHOR BAHRU – Polis menahan 17 individu dalam beberapa serbuan berasingan di premis nombor ekor tidak berlesen di sekitar negeri ini, dari petang sehingga malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan antara 5 petang hingga 8 malam itu, berjaya menahan mereka yang berusia antara 20 hingga 56 tahun mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
“Dalam serbuan itu, kita menahan 14 lelaki dan tiga wanita yang dipercayai terdiri daripada pekerja, pemilik dan juga pelanggan premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pihaknya turut merampas 17 telefon, 17 mesin pencetak dan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM911.
Beliau berkata serbuan dan tangkapan dilakukan di Pasir Gudang; Seri Alam; Rengit, Batu Pahat; Kluang; Kulai; Senai; Tangkak; Labis; Segamat dan Pontian.
Kamarul berkata mereka yang didapati menjalankan atau menganjurkan judi ekor tanpa lesen boleh dituduh mengikut Seksyen 4 A(a) ARJT 1953 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun. – BERNAMA