SADAO (THAILAND) – Polis Thailand merampas 19 guni berisi daun ketum seberat 700kg yang cuba diseludup masuk ke Thailand dari Malaysia di pagar sempadan kedua-dua negara berhampiran Sadao malam tadi.
Ketua Polis Sempadan ke-437 Thai, Kol Pahol Kerdkaew berkata, empat lelaki warga Thai ditahan ketika cuba memotong dawai pagar besi yang memisahkan kedua-dua negara itu.
“Keseluruhan daun ketum yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya hari ini sambil menambah empat suspek yang ditahan itu berumur antara 21 dan 48 tahun serta tinggal di Songkla.
Selain daun ketum, kata Pahol, pihaknya turut merampas sebuah kereta, telefon bimbit dan peralatan memotong dawai pagar.
Pahol berkata, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai cubaan menyeludup kumpulan lelaki berkenaan. – BERNAMA