KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan pos negara, Pos Malaysia Bhd akan menggandakan kapasiti pengendalian Pusat Pembungkusan Bersepadu (IPC) miliknya di Shah Alam, Selangor, menjelang tahun 2018.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata ia berikutan kapasiti sedia itu sudah mencecah tahap maksimum dalam masa kurang dua tahun.
“Kami kini dalam peringkat menambah kemampuan IPC supaya ia dapat memproses sehingga 300,000 bungkusan sehari berbanding 150,000 bungkusan, ketika ini.
“Usaha berkenaan dijangka siap menjelang 2018,” katanya kepada pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat Pos Malaysia, Kembali Ke Sekolah untuk anak-anak yatim di sini, hari ini.
Seramai 80 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Al Faizin dan Rumah Nur Hikmah diberi bantuan pakaian seragam, alat tulis, kasut dan beg sekolah bagi sesi tahun depan.
Mengulas lanjut, Mohd Shukrie berkata Pos Malaysia akan turut menaiktaraf kemudahan pengasingan sedia ada miliknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang kepada sebuah IPC.
“Kami akan memperluaskan operasinya sejurus selepas proses penganugerahan kontrak bagi mempertingkatkan IPC Shah Alam, selesai.
“Gabungan kapasiti IPC Shah Alam dan KLIA dijangka mencecah setengah juta bungkusan sehari yang ternyata menepati permintaan semasa,” katanya.
Pada masa ini, Pos Malaysia mengendalikan 350,000 sehingga 400,00 bungkusan sehari ke seluruh negara. – BERNAMA