COLOMBO – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mendekati komuniti Melayu Sri Lanka untuk melihat susur galur dan budaya hidup mereka.
Ketibaan baginda yang juga Canselor UniMAP di dewan komuniti Slave Island semalam, disambut Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka, M. Hussain Jayah yang merupakan antara 50,000 penduduk Sri Lanka daripada komuniti Melayu.
Baginda yang mengetuai delegasi Jelajah Ilmu UniMAP ke Sri Lanka diberi taklimat oleh M. Hussain mengenai kehidupan masyarakat Melayu Sri Lanka yang segelintirnya masih boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyaksikan permainan sepak raga bulatan dan sepak takraw yang disertai komuniti itu bersama-sama anggota delegasi UniMAP di padang sukan berhampiran selain melihat kesuburan kesenian tradisi termasuk tarian joget yang dijayakan penduduk tempatan.
Baginda turut meninjau perkampungan Melayu di Slave Island itu dan bertemu para penduduknya yang ramah.
Komuniti Melayu wujud di Sri Lanka sejak lebih 250 tahun lalu melalui penghijrahan penduduk Indonesia dan Tanah Melayu dan jumlahnya kian membesar namun penguasaan bahasa Melayu kian luntur.
M. Hussain yang ditemui wartawan berkata, mereka tidak pernah merasa asing di bumi Sri Lanka kerana kerajaan negara itu sentiasa mengambil berat terhadap kehidupan mereka.
“Lagipun kami dilahir dan membesar di sini. Ada juga yang berjawatan tinggi,” katanya yang mengetuai persatuan itu sejak tahun lalu.
Mengenai hubungan Melayu Sri Lanka dan rakyat Malaysia keturunan Melayu beliau berkata, hubungan itu telah lama terjalin dan sentiasa subur.
Katanya, mereka sering menerima kunjungan silaturahim daripada rakyat Malaysia sama ada secara berkumpulan atau individu.
Bagi mengukuhkan kerjasama dalam kalangan komuniti, Persatuan Melayu Sri Lanka ditubuhkan sejak 1922 dengan presiden pertamanya M.K Saldin yang menerajui persatuan itu sehingga awal tahun 1942. – BERNAMA