KOTA KINABALU – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi laut di pantai Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata mangsa, seorang pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut, dilaporkan hilang ketika mandi bersama adiknya di pantai berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu melancarkan gerakan mencari dan menyelamat bermula pukul 1 tengah hari, katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mangsa bersama-sama dengan keluarganya telah berkunjung ke pantai itu untuk tujuan berkelah dan mandi laut pada kira-kira 12 tengah hari.
Setakat jam 4.30 petang, 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam, masih gagal menemui mangsa, katanya.
Katanya, keadaan laut masih begelora dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – BERNAMA