SEORANG remaja berusia 17 tahun mati dalam keadaan mengerikan apabila ditetak menggunakan parang oleh dua lelaki tidak dikenali ketika keluar dari sebuah pusat hiburan di Jalan Coastal, Kota Kinabalu, awal pagi.
Dalam kejadian 14.15 pagi itu, mayat mangsa, Yacoob Nasran ditemui berlumuran darah dengan dua kesan tetakan di dahi dan leher.
Sementara itu, tiga lagi rakan mangsa yang turut berada di tempat kejadian cedera parah dan kini sedang menerima rawatan Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika kejadian, mangsa bersama tujuh rakannya berumur antara 18 tahun dan 20 tahun, dikatakan keluar dari sebuah pusat hiburan sebelum terserempak dengan seorang lelaki yang bertengkar dengan bekas isterinya di kaki lima premis terbabit.
“Siasatan awal kemudiannya mendapati suspek yang berusia 26 tahun tiba-tiba naik berang lalu menyerang kumpulan remaja itu, bersama seorang sepupu lelakinya.
“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mencapai sebilah parang lalu menghayunnya ke arah kumpulan remaja berkenaan dan seorang mangsa kemudiannya terkena dua libasan di bahagian dahi serta leher sehingga menyebabkannya mati di tempat kejadian, “ katanya dipetik Harian Metro.
Kata Chandra, pihak polis kini sedang memburu kedua-dua suspek yang melarikan diri selepas insiden itu. – MYNEWSHUB.CC