SELEPAS bertahun didera, akhirnya seorang remaja, Natalie Finn, 16, menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan menyedihkan. Kes kematiannya disiasat selepas Natalie mengalami serangan jantung.
Susulan itu, ibu bapanya Joseph Michael Finn II, dan Nicole Marie Finn telah didakwa dengan pelbagai tuduhan termasuk membunuh dan membahayakan kanak-kanak.
Selain Natalie, dua lagi adiknya yang berusia 15 dan 14 tahun, turut dikurung di dalam rumah mereka di Iowa. Disebabkan mengalami penderaan, Natalie serta adik-adiknya dilaporkan mengalami tekanan emosi dan mental.
Mereka tidak diberikan makan dan tidak mendapat penjagaan kesihatan.
Jiran-jiran mereka telah melaporkan mengenai penderaan tersebut kepada polis sejak lima bulan lalu selepas Natalie dilaporkan meminta makanan.
Mereka juga melihat bagaimana remaja itu memakai pakaian yang sama dan berbau amat busuk.
Jiran-jiran juga menyifatkan Natalie sebagai remaja yang ‘manis’ namun mereka tidak berinteraksi dengan keluarganya. Natalie juga tidak bersekolah. – Mynewshub.cc