KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Bagi Kepimpinann Dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak oleh Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) hari ini.
Anugerah terulung itu bagi menghargai usaha dan kepimpinan isteri perdana menteri itu dalam Program Permata Negara (PERMATA).
Anugerah disampaikan Pengerusi WCES, Tan Sri Michael Yeoh, yang juga ketua pegawai eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), di sini.
Rosmah berkata kanak-kanak merupakan aset penting kepada negara dan mereka adalah asas kukuh kepada mengekalkan keamanan dunia.
“Bagaimanapun, kita tidak akan capai keamanan sejati jika kanak-kanak terdedah kepada keganasan, konflik dan peperangan.
“Jika kita tidak didik mereka mengenai erti keamanan, belas kasihan dan kehormatan untuk hidup, maka orang lain akan ajar mereka tentang keganasan dan kebencian,” katanya dalam ucapan penerimaan anugerah itu.
Katanya, oleh itu adalah penting untuk mendidik anak-anak bagi membangunkan visi global keamanan, tiada keganasan, keadilan sosial, hak asasi, demokrasi, perbezaan budaya dan peka kepada persekitaran agar mereka akan diletakkan pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menjadikan dunia ini tempat tinggal yang lebih baik.
Rosmah berkata adalah penting untuk melabur dalam pendidikan berkualiti bermula dari usia awal kanak-kanak di mana mereka perlu belajar mendengar, berdialog dan mampu menyelesaikan masalah, pertelingkahan dan konflik.
Beliau berkata bidang pendidikan perlu inklusif dan mengembangkan semua bakat dan pastikan semua termasuk mereka yang memerlukan pendidikan khas serta mereka yang terpinggir digunakan potensi mereka sehingga maksimum.
Atas dasar itu, program Permata yang dimulakan beliau pada 2005 adalah untuk mendedah dan memupuk potensi tidak ternilai yang wujud dalam semua kanak-kanak.
“Permata adalah mengenai membangunkan kognitif, fizikal, emosi, etika, rohani kanak-kanak dan pembangunan tingkah-laku serta ikatan sosial untuk menyeimbangkan kehidupan secara keseluruhan,” katanya.
Berkongsi 11 tahun perjalanannya bersama Permata, Rosmah berkata ia sentiasa penuh dengan cabaran kerana ramai yang berterusan dengan sikap skeptikal.
“Tetapi, rintangan diterima menjadikan saya tabah kerana saya tahu apa yang saya lakukan dan saya yakin dengannya. Ia sungguh mudah dan jelas.
“Anak-anak adalah aset kita yang paling penting. Masa depan negara bergantung kepada bagaimana kita melayan dan mendidik mereka dan nilai yang kita terapkan dalam diri mereka,” katanya.
WCES adalah persidangan tahunan utama dunia yang mempromosi jalinan rapat antara komuniti ekonomi global dengan China, Asia Tenggara dan masyarakat Cina secara global. – BERNAMA