KISAH rumah tangga pasangan selebriti terkenal antarabangsa Kim Kardashian dan Kanye West sekali lagi menjadi perhatian media selepas muncul dakwaan menyatakan hubungan mereka telah berantakan.
Ini berikutan, satu sumber terdekat memberitahu laman The Sun, hubungan pasangan suami itu sudah berakhir.
Jelas sumber itu, Kim meminta Kanye untuk tidak hadir dalam parti Krismas yang dianjurkan ibunya, Kris Jenner.
Malah, Kim juga dikatakan tidak lagi memakai cincin kahwin ketika parti tersebut. Ianya dibuktikan menerusi sebuah gambar yang dimuatnaik adiknya, Khloe menerusi aplikasi Snapchat.
Kanye juga dikatakan memilih untuk pergi menonton filem bersama rakan-rakannya.
Bagaimanapun, jurucakap Kim tampil menafikan dakwaan itu.
“Cerita itu adalah palsu. Kanye turut hadir di parti itu,”ujar jurucakap tersebut.
Rumah tangga pasangan ini dikatakan berantakan selepas Kim mengalami trauma akibat rompakan di Paris pada Oktober lalu dan ditambah pula dengan keadaan Kanye yang mengalami deprasi pada bulan lalu hingga menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Los Angeles selama 10 hari.
Sementara itu, menerusi pemeriksaan pada akaun Instagram Kim, kali terakhir dia memuat naik gambar adalah minggu lalu.
Perubahan sikap Kim yang tidak lagi aktif dalam Instagram sedikit sebanyak mencetuskan tanda tanya kerana umum mengetahui bintang realiti itu gemar berkongsi gambar kehidupan sehariannya dengan peminat. – MYNEWSHUB.CC