BELUM ajalnya… Seorang kru yang terselamat dalam nahas pesawat membawa pasukan bola sepak Chapecoense menceritakan detik-detik ngeri ketika pesawat mula menjunam.
Erwin Tumiri, yang merupakan salah seorang daripada enam mangsa yang terselamat memberitahu, ketika kejadian suasana huru-hara sementara penumpang pula ketakutan.
Ini menyebabkan ramai yang meninggalkan tempat duduk masing-masing dan mereka menjerit semasa pesawat CP-2933 itu mula terhempas.
Bercerita bagaimana dia masih hidup, Erwin mendedahkan di terselamat kerana membentukkan badannya seperti bayi dalam janin ketika pesawat mula menjunam.
Menurutnya, ketika nahas itu ‘dia mematuhi langkah keselamatan’ seperti yang disarankan.
“Saya letakkan beg antara kaki saya dan membentuk kedudukan bayi dalam janin – sebagaimana yang disyorkan ketika berlaku insiden tidak diingini.
“Ketika kejadian, ramai yang berdiri dari tempat duduk mereka dan menjerit,” katanya kepada stesen Fox Sports Argentina.
Sementara itu, seorang lagi pramugari terselamat, Ximena Suarez, memberitahu ketika pesawat sedang menjunam, lampu tiba-tiba terpadam.
“Saya tidak ingat bagaimana ia berlaku,” katanya menurut laporan Deportes RCN.
Pada Isnin lalu, seramai 71 penumpang maut dalam nahas pesawat berkenaan yang dilaporkan terhempas selepas dipercayai kehabisan minyak .
Brazil mengumumkan negara tersebut berkabung selama tiga hari susulan kejadian malang itu.
Sumber: Daily Mail