BAU – Kesemua 30 pendaki yang dilaporkan hilang di Gunung Brik, Kampung Tringus, Bau kira-kira 35km dari sini berjaya ditemui dan telah dibawa ke kaki gunung berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata hanya 30 pendaki, bukannya 33 seperti yang dilaporkan sebelum ini, terlibat dalam pendakian itu dan kesemuanya ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan serius.
Menurut Nor Hisham, kumpulan itu terdiri daripada 17 perempuan dan 13 lelaki.
“Pendaki terbabit telah membuat keputusan bijak kerana tidak turun semalam berikutan arus sungai yang deras dan paras air sungai juga naik,” katanya.
33 Pendaki Sesat Di Gunung Brik, Operasi SAR Disegerakkan
Beliau yang turut berada di kem kawalan bomba di kaki Gunung Brik berkata kumpulan pertama seramai sembilan orang tiba di khemah itu pada pukul 2.45 petang manakala baki 21 orang tiba 15 minit kemudian.
Menurut Nor Hisham lagi, tiga anggota bomba bersama beberapa orang kampung yang naik menggunakan laluan turun, terserempak dengan kumpulan pendaki terbabit yang sedang menuruni gunung itu.
“Tiada kecederaan serius…hanya luka-luka kecil sahaja dialami pendaki,” katanya.
Kumpulan itu memulakan pendakian mereka pada Sabtu lalu dan dijangka kembali petang semalam tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana cuaca tidak mengizinkan.
Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau pagi tadi. – BERNAMA