MUAR – Polis akan menyiasat rakaman pemandu sebuah bas ekspres di sini yang dipercayai menggunakan telefon bimbit serta merokok ketika memandu di Plaza Tol Tangkak dari Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar ASP Suhaimi Ahmad berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu termasuk meneliti rakaman video yang dimuat naik oleh individu yang merakam kejadian tersebut.
“Kita akan lihat video serta gambar yang dikongsi oleh individu itu dan akan memanggil pemandu terbabit untuk disoal siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Suhaimi berkata pihaknya juga akan menghubungi syarikat bas terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual pemandu bagi mengenal pasti identiti pemandu itu bagi tindakan susulan.
“Kita memandang serius perkara ini dan siasatan lanjut akan dilakukan sebelum membuka kertas siasatan,” katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan penjelasan daripada syarikat bas terbabit juga gagal.
Dua rakaman video yang berdurasi antara 17 dan 19 saat itu dimuat naik oleh pengguna akaun Facebook yang menggunakan nama Firdaus Wong Wai Hung sejak tujuh jam lepas.
Kedua-dua video berkenaan yang menjadi viral di laman sosial itu menunjukkan pemandu tersebut memandu sambil mengguna telefon bimbit dan merokok, sekali gus menunjukkan sikap sambil lewa pemandu terbabit.
Firdaus mendakwa video itu dimuat naik ketika menaiki bas berkenaan dari Terminal Bersepadu Selatan pada pukul 11.30 pagi menuju ke Muar.
Sehingga pukul 9.55 malam ini, kedua-dua video itu mendapat perhatian di laman Facebook dan telah ditonton oleh lebih 300,000 pemegang akaun laman sosial terbabit.- BERNAMA