KUALA LUMPUR – Mahasiswa yang mengadakan demonstrasi jalanan dan menentang pemimpin negara adalah permata yang besar kepada negara, berketokohan dan berkepemimpinan.
Itu pandangan Ketua Pemuda Parti Amanah (PAN), Mohd. Sany Hamzan mengenai sikap yang perlu ada dalam kalangan mahasiswa di negara ini.
Mohd. Sany juga mendakwa sikap Mahasiswa seperti itu perlu diraikan kerana ia merupakan satu perkara yang baik kepada Malaysia.
Beliau memberi contoh empat pelajar Universiti Malaya (UM) iaitu Anis Syafiqah, Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar dikenakan tindakan tatatertib oleh pengurusan universiti disebabkan sikap itu.
“Pentadbir universiti tidak sewajarnya menganggap anak-anak muda yang berani ini satu liabiliti yang menjejaskan dan memudaratkan kepentingan serta reputasi baik universiti.
“Mereka sepatutnya bangga kerana telah melahirkan permata besar kepada negara iaitu anak-anak didik yang berani, berketokohan dan berkepemimpinan.
“‘Mindset’ seperti ini akan membawa Malaysia ke lembah kegagalan apabila perkara yang baik dianggap buruk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahasiswa terbabit didapati salah melanggar tatatertib UM kerana mengadakan demonstrasi jalanan “Tangkap MO1” di ibu negara baru-baru ini.
Pelajar terbabit mendakwa mereka berdemonstrasi atas nama mahasiswa, namun umum mengetahui ia sebenarnya berkepentingan politik parti pembangkang. – Mynewshub.cc