PENYANYI no. 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza menerusi posting di laman Instagram merakamkan ucapan takziah di atas pemergian biduan negara, Tan Sri Dato SM Salim.
“Saya turut bersedih di atas pemergian beliau dan saya mendoakan agar beliau tergolong di kalangan orang yang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau,” tulis Siti di laman sosialnya itu.
Siti turut memohon maaf tidak dapat menziarahi jenazah kerana sedang berada di Jakarta, Indonesia pada ketika ini.
Siti menyifatkan hubungannya dengan Allahyarham ibarat seperti seorang bapa yang sering memberikan nasihat dan contoh yang baik kepada generasi muda yang terlibat dalam bidang seni suara seperti dirinya.
Siti pernah berduet dengan Allahyarham menerusi dua buah lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Bergending Dang Gong.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di sisi ahli keluarga pada jam 5.44 petang hari ini di kediaman anaknya di Taman Sering, Ukay Perdana, Hulu Klang.
Jenazah dijangka dikebumikan sebelum solat Jumaat di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. – MYNEWSHUB.CC