TEMERLOH – Sepasang suami isteri berusia 25 dan 20 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan polis dalam satu serbuan dekat Taman Sri Layang di sini, Sabtu lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood berkata pasangan itu ditahan oleh anggota Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh ketika mereka sedang menunggu pelanggan dalam kereta.
Hasil soal siasat, polis berjaya menemukan 231.53 gram herion dan 63.7 gram syabu bernilai RM25,000 di rumah sewa pasangan berkenaan di Taman Rimba dekat sini, katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, pasangan itu memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki Cina di Gombak, Selangor, untuk diedarkan di kawasan Mentakab, Jerantut dan Lipis.
Katanya, lelaki itu yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini didapati
positif dadah berdasarkan ujian saringan air kencing manakala isterinya pula negatif dadah.
Zundin berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan. – BERNAMA