GUA MUSANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang menangkap ular sawa kekenyangan selepas menelan anak kambing di tepi jalan dekat Taman Damar, petang kelmarin.
Ular sawa seberat 80 kilogram dengan empat meter panjang itu ditangkap pada pukul 5.10 petang selepas menerima panggilan daripada pekerja kontrak penyelenggaraan Telekom Malaysia.
Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pekerja kontraktor itu melihat ular terbabit melingkar di tepi jalan dan tidak bergerak dipercayai akibat kekenyangan.
“Kita memang kerap menerima aduan daripada penduduk taman mengenai gangguan ular dan setakat ini enam ular sawa ditangkap di situ,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sejak Januari lalu, sebanyak 140 ular berjaya ditangkap pihaknya termasuk yang berada di dalam rumah penduduk.
Katanya, tangkapan tertinggi dicatatkan pada bulan ini dengan jumlah sehingga 16 ekor.
“Kita pernah menangkap ular sawa seberat 180 kilogram selepas menelan seekor anak lembu di Kampung Meranto lebih dua bulan lalu,” katanya. – myMetro Online