KUALA LUMPUR – Dua daripada 20 rakyat Malaysia yang berada di Karak Castle, lokasi kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan Jordan dan sekumpulan lelaki bersenjata di Bandar Karak, Jordan Ahad lepas (18 Disember), hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut jurucakap Wisma Putra, kecederaan itu akibat terkena serpihan kaca berpunca daripada tembakan yang dilepaskan.
“Kedua-dua mereka telah menerima rawatan di hospital berdekatan sekitar Jordan dan dilaporkan selamat.
“Ketika kejadian, mereka berada di dalam bas sewaktu melancong di bandar Karak yang secara kebetulan lalu di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama hari ini.
Serangan ke atas Karak Castle di Bandar Karak yang terletak 132km ke selatan ibu kota Amman itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang iaitu seorang wanita Kanada, tiga orang awam dan lima anggota polis. – BERNAMA