MASUK lima hari Aleppo dibom – dunia mula memberikan respons. Walaupun belum ada laporan mengenai angka kematian – pemimpin dunia pantas bangkit menyatakan kebimbangan krisis ini akan menghasilkan satu lagi kubur masa pembunuhan terbuka.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry memberikan pandangan paling ekstrim. Mengandaikan Aleppo akan menjadi tapak pembunuhan beramai-ramai sama seperti Tragedi Srebrenica. Kerry merujuk kepada kematian 200 ribu umat Islam Bosnia yang dibunuh tentera Serbia dalam Perang Balkan 1994 hingga 1996.
Walaupun tragedi pembunuhan Srebrenica dirujuk sebagai isu penghapusan etnik oleh kaum Serbia Kristian Ortodok terhadap penduduk Bosnia beragama Islam, Kerry menyifatkan krisis di Aleppo akan berakhir dengan suasana tragedi kematian yang sama.
Aleppo menjadi perhatian dunia kerana terdapat lebih 50 ribu penduduk kini terperangkap dalam perang antara Tentera Pembebasan Syria (SLA) dan Tentera Bashar Assad. Krisis bersenjata sejak Julai 2012 kini menuju puncak.
Kerry cuba menarik perhatian dunia Islam dengan membangkitkan sentimen Srebrenica. Satu sindiran terhadap campur tangan Rusia yang membantu Tentera Bashar menentang SLA. Isu Aleppo bermula dengan serangan udara besar-besaran oleh jet pejuang Rusia dan disusuli dengan ratusan tembakan meriam darat tentera Syria.
Kerry atas kepentingan AS cuba mengheret kebencian umat Islam terhadap Rusia. Kerry memancing pandangan bahawa serangan pesawat Rusia sebagai pembunuhan etnik ala Srebrenica. Apa pun, isyarat serius Kerry ada benarnya. 50 ribu nyawa penduduk Aleppo pasti membentuk kubur massa sekiranya dunia lambat bertindak.
Perisik ketenteraan Turki pula melaporkan terdapat hampir 100 ribu penduduk masih terperangkap di Aleppo. Walaupun di beberapa laluan, gencatan senjata sudah dilaksanakan – namun misi membawa keluar penduduk terbantut kerana kurangnya pengangkutan.
Manakala, agensi berita antarabangsa turut mendedahkan – di beberapa petempatan, usaha membawa keluar mangsa yang terperangkap gagal dilaksanakan apabila konvoi misi menyelamat diserang Tentera Syria dalam perjalanan. Ini menyebabkan misi tergendala dan konvoi terpaksa berpatah balik.
Pada Julai 2012, perang meletus di Syria. Ia rentetan kebangkitan Arab Spring di Damsyik yang merebak dari utara Afrika ke Asia Barat.
Selain empat pemimpin di Tunisia, Algeria, Libya dan Mesir berjaya dijatuhkan, Revolusi Jasmin di Syria gagal mengguling Bashar. Malah, bertukar menjadi perang saudara. Tiada angka sahih disahkah mengenai jumlah kematian selepas 54 bulan Syria dilanda krisis peperangan. Namun, hampir tiga juta rakyat Syria kini menjadi pelarian merentas sempadan Turki dan limpahannya merebak sampai ke Eropah.
Turki paling hampir dan menanggung bahang paling teruk. Dua juta pelarian Syria kini berlindung di sempadan negara itu. Malah, Turki terbabit dalam perang ini melalui dua suasana. Pertama – Turki menyokong SLA. Kedua, Turki bergabung dengan Barat mengatur serangan terhadap kubu Daesh di Syria.
Turki sekali pun menjadi negara Islam paling berpengaruh – namun, dilihat tidak relevan sebagai kuasa pendamai kepada apa jua proses keamanan di Syria.
Arab Saudi dan sekutu kuasa minyak di rantau Teluk juga hilang pengaruh. Sokongan Negara Teluk pada SLA menghapuskan potensi komunikasi bagi proses rundingan damai.
Sekali pun ada khabar baik mengenai gencatan senjata – namun proses rapuh ini tidak akan kekal lama. Pertempuran akan kembali meletus pada bila-bila masa.
Apa yang pasti, tempoh 48 jam seterusnya sangat kritikal. Ketika tiada negara mampu menjadi orang tengah bagi proses keamanan, Aleppo akan menjadi kubur massa sekiranya pertempuran darat secara besar-besaran bermula.
Dunia belum bertemu kuasa yang mampu membentuk proses keamanan. Walaupun Barat mungkin terus menekan Syria di platform politik antarabangsa, Bashar dijangka mampu bertahan dengan sokongan Rusia dan Iran.
Bashar sudah membuktikan sikap keras hatinya tanpa mengalah dalam perang yang kini menjangkau lima tahun. – Agensi