KUALA LUMPUR – “Tidak ada mana-mana pasukan yang mampu untuk membeli pemain kami melainkan kelab kami memutuskan untuk menjualnya dengan harga yang murah”.
Demikian penegasan Ketua Pencari Bakat dan Wakil Delegasi Asing Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest berhubung kedudukan pemain-pemain pasukan Harimau Selatan yang bakal berhijrah.
Justeru, katanya, dakwaan beberapa laman media sosial cuba mengembar-gemburkan seolah-olah ada pemain JDT telah dibeli atau mahu meninggalkan JDT satu perkara yang melucukan.
“JDT adalah sebuah kelab yang paling profesional di rantau ini. Mereka dibayar gaji yang terbaik dan mereka juga bermain dalam pertandingan antarabangsa. Tiada pemain di rantau ini yang mahu meninggalkan JDT.
“Ia adalah satu-satunya pasukan di negara ini yang mempunyai perancangan untuk berkembang dari segi falsafahnya dengan kestabilan kewangan yang kukuh untuk tempoh 30 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
JDT semalam mengumumkan pemainnya, Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin dijual kepada pasukan Perak dengan yuran awal perpindahan RM1.5 juta tetapi dikurangkan kepada kadar yang tidak diumumkan atas permintaan Persatuan Bola Sepak Perak.
Sebelum ini, Amri Yahya juga dikhabarkan bakal meninggalkan JDT bagi menyarung jersi pasukan Melaka United.
Martin berkata, apabila seseorang pemain membuat keputusan untuk meninggalkan JTT adalah kerana kelab tersebut telah melepaskan mereka kerana perkhidmatan mereka tidak lagi diperlukan dan tidak lagi menjadi sebahagian daripada perancangan JDT.
Bagaimanapun, katanya, kepada pemain yang telah meninggalkan atau akan meninggalkan JDT diucapkan terima kasih dan mengharapkan yang terbaik untuk masa hadapan mereka.
“Laman sosial atau media secara umumnya, janganlah menulis hanya untuk menjual cerita. Tulis dan laporkanlah apa yang sebenar dan apakah fakta sebenar. Tiada siapa yang suka kebenaran tetapi ini adalah kebenaran,” katanya. – Mynewshub.cc