NIBONG TEBAL – Tiga gudang sebuah kilang perabot di Jalan Tasek, Sungai Bakap di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd. Rosmaidi Baharuddin berkata pihak bomba menerima panggilan pada 6.11 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap tiba kira-kira 11 minit kemudian.
“Semasa pihak bomba tiba di tempat kejadian, tiga buah gudang itu yang terletak berdekatan sedang terbakar dan api marak.
“Gudang-gudang itu merupakan tempat penyimpanan kayu dan barangan plastik untuk membuat perabot, selain itu terdapat beberapa mesin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 8.15 pagi dan semasa kejadian tiada pekerja di situ.
Sementara itu, pemilik kilang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lam, 53, mendakwa kerugian lebih RM1 juta akibat kebakaran itu. – BERNAMA