SEMPORNA – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna dipercayai berkaitan kejadian tiga lelaki kumpulan penculik ditembak mati di perairan Merabung-Bakapit, di Lahad Datu semalam.
Sidang akhbar itu akan diadakan pada pukul 10.30 pagi ini.
Dipercayai tiga daripada lima lelaki disyaki kumpulan penculik dari selatan Filipina ditembak mati dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan ketika cuba melakukan penculikan di kawasan perairan antara Merabung-Bakapit, dekat Lahad Datu kira-kira pukul 9.51 pagi.
Difahamkan dua lagi suspek diberkas manakala seorang lelaki dipercayai mangsa culik, berjaya diselamatkan.
Seorang anggota keselamatan daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai terkena tembakan dalam kejadian itu. – BERNAMA