KLANG – Toyota Motor Corporation Japan merancang melabur RM2 bilion untuk membina kilang yang mempunyai kemudahan berteknologi tinggi di Klang, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata kesediaan syarikat itu melabur di Selangor disampaikan kepada pihaknya sewaktu lawatan kerja ke negara matahari terbit itu minggu lepas.
“Toyota Motor Corporation mengesahkan akan melabur RM2 bilion untuk membina kilang yang dapat mengeluarkan 50,000 unit kenderan setahun bagi pasaran tempatan,” katanya dalam ucapan taat setia sempena Istiadat Penganugerahan serta Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-71 Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata kedudukan kewangan dan rizab negeri yang kukuh membolehkan kerajaan negeri meluluskan belanjawan terbesar bagi tahun 2017 berjumlah RM3.34 bilion.
Katanya kerajaan negeri meletakkan agenda pembangunan pada paras 52.2 peratus, manakala belanja mengurus 47.8 peratus. – BERNAMA