PERKENALAN melalui aplikasi pencarian jodoh membawa ‘malang’ kepada seorang wanita apabila ditemui mati di bandar Mexico.
Francia Ruth Ibarra, 26, dilaporkan berkenalan dengan Emmanuel Delani Valdez Bocanegra, 26 melalui aplikasi bertemu jodoh popular, Tinder beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, akibat enggan melakukan hubungan seks, Bocanegra bertindak membunuh Francia serta menggunakan asid untuk menghancurkan mayat wanita tersebut supaya semua orang menyangka mangsa sengaja menghilangkan diri.
Dailymail melaporkan, Francia dilaporkan hilang 3 Disember lalu apabila keluarga dan rakan bimbang selepas dia tidak pulang ke rumah.
Kali terakhir dia dilihat ketika keluar dari rumahnya untuk ke pusat bahasa di Universiti Guanajuato.
Hasil bantuan rakan sekelas mangsa yang menyiasat laman sosialnya mendapati mangsa berkenalan dengan Bocanegra melalui Tinder.
Bagaimanapun, mangsa tidak pernah memperkenalkan suspek kepada rakan-rakannya.
Suspek kemudiannya di tahan di Mexico dan hasil pemeriksaan di dalam rumah menemui beberapa beg sampah mengandungi tulang manusia di balkoni apartmennya.
Polis menemui beg berisi tulang di dalam bekas mengandungi soda kaustik serta asid hidroklorik manakala enam kilogram daging manusia yang masih melekat di tulang berkenaan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti mangsa menggunakan ujian DNA. – MYNEWSHUB.CC