Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Melaka Pertimbang Tawar Semula...

MELAKA - Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menawarkan semula insentif sebanyak US$10 untuk...

Pencarian China Eastern Berakhir,...

BEIJING : Operasi mencari bangkai pesawat Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines (China...

SPRM Kedah Tahan 76...

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah menahan 76 individu...

Jumlah Mangsa Banjir Di...

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,078 orang...

Tuanku Abdul Halim Dekat Di Hati Petugas Istana

KUALA LUMPUR – Berperwatakan tegas namun penyayang, itulah keperibadian Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang amat disenangi dan disanjung setiap petugas Istana Negara.

Sepanjang lima tahun menaungi Malaysia di takhta pemerintahan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, baginda cukup dekat di hati setiap petugas, khususnya bagi pelayan peribadi yang saban hari bersama baginda.

Berkongsi pengalaman sebagai Pembantu Operasi yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pakaian dan barang perhiasan baginda, Nordin Abdullah, 59, berkata Tuanku Abdul Halim merupakan seorang raja yang tidak cerewet dalam segala aspek.

“Baginda tidak cerewet. Apa yang saya nampak, baginda kini minat mengenakan tali leher warna merah sekiranya baginda hadir ke majlis dengan memakai ‘long suit’,” katanya ketika ditemui Bernama di Istana Negara baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata walaupun tidak cerewet, namun Tuanku Abdul Halim cukup mengutamakan soal ketepatan masa.

“Baginda paling pantang jika tidak menepati masa. Saya sendiri sering kali ditegur berkaitan masa. Saya terima teguran tersebut dan cuba perbaiki kelemahan saya,” katanya yang mula bertugas di Istana Anak Bukit ketika usianya baharu mencecah 20 tahun.

Ditanya faktor yang menyebabkan beliau mampu bertahan hampir 40 tahun sebagai petugas istana, Nordin berkata keperibadian Tuanku Abdul Halim yang menghormati setiap petugas membuatkan beliau setia dengan kerjayanya itu.

“Baginda tak suka panggil gelaran. Baginda suka memanggil kami dengan nama penuh. Baginda akan murka jika ada terdengar pekerjanya dipanggil dengan nama gelaran,” katanya.

Senada dengan Nordin, pelayan peribadi Tuanku Abdul Halim, Abdullah Al-Bahidi Baharudin yang bertanggungjawab menjaga makan minum baginda turut berbangga dapat berkhidmat di bawah Seri Paduka yang tidak kekok beramah mesra dengan petugas istana.

“Walaupun saya baru tiga tahun berkhidmat, namun kemesraan baginda dapat dirasai. Baginda baik hati, lemah lembut dan sangat menjaga kebajikan pekerja terutamanya pelayan, kundang dan amah,” kata anak kelahiran Kota Damansara itu.


Antara kenangan manis yang disimpul anak muda berusia 25 tahun itu antaranya dapat mengiringi Tuanku Abdul Halim ke luar negara atas urusan rasmi antaranya United Kingdom, China dan Itali.

Katanya pengalaman berkhidmat di Istana Negara sebagai pelayan peribadi baginda akan disimpan kemas dalam lipatan sejarah kerjayanya kerana peluang tersebut sukar diperoleh sekiranya tiada minat mendalam, kesabaran dan disiplin yang tinggi.

Ditanya mengenai jadual harian, Abdullah Al-Bahidi berkata pelayan peribadi dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan waktu kerja yang berbeza iaitu kumpulan A bertugas dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang, kumpulan B (3 petang hingga 11 malam) manakala kumpulan C (11 malam hingga 7.30 pagi).

“Setiap kumpulan mempunyai empat petugas. Pasukan A bertanggungjawab menyediakan santapan pagi. Pasukan B (santapan tengah hari) manakala kumpulan C (santapan malam dan lewat malam),” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, seorang lagi pelayan peribadi Tuanku Abdul Halim, Mohd Ridzuwan Ibrahim, 26, mengakui akan merasai kehilangan seorang raja berjiwa rakyat yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan.

“Tipulah jika saya tidak sedih kerana baginda akan tamat tempoh perkhidmatan tidak lama lagi. Bagi saya, baginda seorang yang mudah didekati, peramah dan mengambil berat hal ehwal setiap petugas,” katanya sebak.

Tuanku Abdul Halim akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua pada 12 Dis 2016 dan digantikan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori