TIDAK mahu ketinggalan kereta api, seorang penumpang lelaki menggunakan kereta sorong dengan bayi di dalamnya untuk menghalang pintu kenderaan itu dari tertutup.
Menurut sebuah laman antarabangsa, kejadian tersebut berlaku pada 29 Disember itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen Metro Line 1, Naning, selatan China.
Difahamkan stesen berkenaan baharu sahaja dibuka kepada umum selama dua hari sebelum insiden tersebut terjadi.
Menerusi video yang tersebar yang dimuat naik CCTV News di laman YouTube, memaparkan seorang lelaki memakai baju sejuk berwarna kuning dan coklat menolak kereta sorong dari sebuah lif berhampiran.
Lampu kuning pada pintu kereta api telah berkelip sebagai amaran kepada penumpang untuk menjauhi platform terbabit.
Namun lelaki tersebut tidak mengendahkan isyarat itu bertindak menolak kereta sorong ke arah pintu yang sedang tertutup. Seorang bayi memakai baju kuning yang berada di dalamnya dilihat teranjak ke hadapan.
Pintu kereta api itu kembali terbuka dan individu tersebut dengan pantas masuk ke dalamnya manakala bayi di dalam kereta sorong itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tindakan tergesa-gesa lelaki itu telah menimbulkan pelbagai kritikan daripada pengguna laman mikro Weibo negara itu.
“Oh Tuhanku, adakah bayi itu anaknya?” soal salah seorang daripada pengguna laman itu.
“Kenapa dia tergesa-gesa masuk ke dalam kereta api walaupun lampu amaran telah berkelip?” soal pengguna lain pula.
“Sepatutnya dia yang terperangkap diantara pintu kereta api tersebut,” tulis netizen lain. – MYNEWSHUB.CC