HANYA selepas empat hari bersiaran, semua slot promosi produk usahawan Muslim di bawah jenama keusahawanan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di TV Alhijrah habis dijual.
Hampir 100 slot diperuntukan pada usahawan MAHA sepanjang siaran langsung 4 jam sehari selama 11 hari TV Alhijrah bersiaran langsung bermula 10.00 pagi hingga 8.00 malam bermula 1 hingga 11 Disember.
Dua program utama mempromosi produk dan jenama MAHA, iaitu Assalamualaikum dan BFrenz diserbu usahawan MAHA yang mahu melebarkan sayap jenama mereka melalui tranmisi TV.
“Kami sediakan 20 slot tambahan mulai 7 hingga hari terakhir MAHA pada 11 Disember. Permintaan sangat tinggi, jadi kami tambah 30 minit siaran langsung setiap hari mulai 9.30 pagi di platform program Assalamualaikum,” kata Eksekutif Kanan Jualan Media, Noorfiha Kasa.
TV Alhijrah katanya, memberikan keutamaan pada MAHA kerana terdapat 1500 komuniti usahawan Muslim bertapak di Maeps Serdang, dalam festival pertanian paling tua di rantau ini.
“MAHA satu legasi agrokultur negara. Kami menghargainya sebagai spot utama bagi produk dan jenama berasaskan pertanian. Jadi, kami tambah 20 slot bonus, demi memastikan usahawan MAHA mampu merentaskan jenama mereka ke tujuh juta isi rumah melalui TV Alhijrah,” kata Noorfiha.
Sebagai sokongan, Assalamualaikum memberikan bonus siaran tambahan 30 minit mulai 7 hingga 11 Disember berdasarkan siapa cepat dia dapat. Siaran langsung Assalamualaikum disokong oleh 80 tenaga kerja TV Alhijrah yang berkampung di MAHA sejak 28 November lalu.
TV Alhijrah mencatatkan sejarah sebagai stesyen pertama menyediakan empat jam siaran langsung sehari mempromosi MAHA dengan nilai keseluruhan waktu siaran melebihi RM10 juta.
“Angka bukan kayu ukur. MAHA dalam perjalanan mencipta nilai tambah menjadi spot produk halal berasaskan pertanian. Akan sampai masa, dunia akan mencari MAHA sebagai antara spot halal terpenting,” kata Noorfiha.
Bagi orang ramai, ayuh jadikan MAHA destinasi percutian keluarga. Selain melawat hampir 400 reruai niaga dengan jualan harga runtuh, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke segmen tema Upin & Ipin.
Manakala, warga kota berpeluang menyaksikan konsep produk desa dengan mengunjungi segmen Kampung Mak Chu. Pecinta muzik folk pula berpeluang menikmati konsert Rythm Form The Farmers yang menampilkan Ramli Sarip, Ebiet G Ade, Wali Band dan Khalifah. – mynewshub.cc