HAISSH… memang pelik bercampur seram betullah! Bayangkan, ketika anda memandu bersendirian tiba-tiba ada pula benda yang ikut ‘menumpang’ sama, namun anda langsung tidak menyedari akan kewujudannya.
Demikianlah dialami seorang pemandu Singapura ketika memasuki pintu masuk Malaysia yang tidak sedar dirinya ditemani ‘pocong’.
Penampakan makhluk halus itu bagaimanapun, hanya dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Menerusi rakaman CCTV bertarikh 1 Disember lalu, seorang pemandu dilihat melalui bahagian kastam untuk membayar ‘road charge’, sementara disebelahnya ada sekujur manusia berbalut kain kapan seolah-olah pocong sedang terbaring dalam kenderaan itu.
Apa yang anehnya, pemandu itu mendakwa dia keseorangan dan perkara itu turut disahkan oleh pihak kastam yang melakukan pemeriksaan.
Seorang penyelenggara CCTV tersebut, Mohd Haris berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Memang tarikh tu betul sebab playback banyak kali dah CCTV masa kejadian itu terjadi. Ngam-ngam lebih kurang 3.30 pagi. Memang pelik.
“Bahagian kastam checking cakap, memang tiada apa sebelah pemandu. Sampai sekarang, duk terfikir apa yang landing kat sebelah pemandu tu… bersangka baik jelah,” tulisnya.
Video CCTV itu turut menjadi viral dan menimbulkan tanda tanya di kalangan netizen.
Tidak kurang juga ada yang menyifatkan objek yang menumpang dalam kereta itu adalah mayat yang dibawa oleh pemandu tersebut. – MYNEWSHUB.CC