KUALA LUMPUR – Wanita hamil dua bulan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas sepupunya.
Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhi hukuman itu terhadap S.Thanushani, 24, yang mengaku mencederakan pemilik butik pengantin M. Krishnaveni.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Thanushani yang mempunyai seorang anak berusia setahun didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Kok Doh, Jalan 17/42, Segambut, di sini, pada 10.10 malam, 13 Dis lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda kerana dia sedang hamil dua bulan manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman berbentuk pengajaran. – BERNAMA