BUCHAREST – Dalam langkah yang mengejutkan, parti politik terbesar Romania semalam menamakan seorang wanita dari etnik Tartar, masyarakat minoriti negara itu untuk menjadi perdana menteri.
Jika usul itu diluluskan presiden dan Parlimen, Sevil Shhaideh, 52, akan menjadi perdana menteri Islam dan juga wanita pertama memegang jawatan berkenaan.
Parti Demokratik Sosial menang besar pilihan raya yang diadakan 11 Disember lalu, meraih lebih 45 peratus undi.
Bersama dengan sekutunya, Parti Pakatan Liberal dan Demokrat, ia menguasai majoriti kerusi di Parlimen.
Biasanya, ketua parti terbesar akan dilantik presiden negara itu untuk menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun, pemimpin Parti Demokratik Sosial, Liviu Dragnea berdepan masalah selepas dia didapati bersalah dalam pilihan raya dan diberi hukuman tertunda selama dua tahun April lalu.
Presiden Klaus Iohannis mahukan perdana menteri baru bebas daripada sebarang kesalahan jenayah.
Kerana itu, parti terbabit beralih kepada Sevil, tokoh yang kurang dikenali dan pernah menjadi Menteri Pembangunan Wilayah selama enam bulan dalam kerajaan yang diketuai Demokratik Sosial sebelum ini.
Pencalonan Sevil mengejutkan ramai pihak.
Wanita Islam jarang berkhidmat sebagai ketua negara atau kerajaan di Eropah. Jika ada sekalipun, mereka memegang jawatan itu di negara yang majoriti penduduknya Islam Tansu Ciller, perdana menteri Turki pada 1990-an dan Atifete Jahjaga, Presiden Kosovo dari 2011 hingga 2016.
Di Romania, 80 peratus penduduknya penganut Kristian Ortodoks sementara penduduk Muslim, kurang satu peratus. – Agensi/myMetro Online