SEORANG wanita dijadikan bahan lawak netizen menerusi sekeping gambarnya yang digunakan untuk tujuan hiburan mengakui berasa sedih dirinya ‘dicemuh’ sedemikian rupa.
Menurut Lizzie Velasquez, dia berasa sedih kerana gambarnya digunakan untuk tujuan gelak ketawa oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Gambar Lizzie digunakan beserta kapsyen, “Michael said he would meet me behind this tree for a bit of fun. He running late, would someone please tag him and tell him I’m still waiting? (Michael cakap dia akan jumpa saya di pokok ini. Tapi sampai sekarang dia tak datang-datang lagi, boleh tak sesiapa beritahu dia yang saya masih terus menunggu di sini?).”
Foto Lizzie dipercayai digunakan disebabkan raut wajahnya yang kelihatan sedikit berbeza kerana menghidap sejenis penyakit yang jarang-jarang berlaku iaitu penyakit yang menyebabkannya tidak mempunyai lemak badan.
Lizzie yang merupakan seorang penulis dan jurucakap motivasi menzahirkan kekecewaannya itu menerusi laman Facebook dengan menulis, “Saya dah lihat banyak gambar saya ini digunakan sebagai bahan lawak di Facebook.”
“Saya menulis ini bukan sebagai seorang yang menjadi mangsa, sebaliknya saya ingin memberikan pendapat saya mengenai hal ini.
“Tidak kira macam mana rupa paras atau saiz badan kita, kita semua adalah sama sahaja sebagai seorang manusia.
“Saya harap lepas ini anda semua akan ingat pesanan ini bila gambar orang lain pula dibuat bahan lawak. Jika anda rasa benda itu kelakar tapi mungkin orang dalam foto itu merasakan sebaliknya.
“Sebarkan kasih sayang bukannya ayat-ayat yang menguris hati di Internet,” tulisnya.
Status Facebooknya itu kemudian mendapat 95,000 likes daripada pengikutnya di laman tersebut yang bersetuju dengan komentar yang ditinggalkan Lizzie.
Malah ibu Lizzie turut menulis komen, “Sebagai ibu Lizzie, perkara ini memang sangat menguris perasaan saya. Tapi saya bersama anak saya, yang mahu sebarkan kebaikan dan kasih sayang melebihi segala-galanya.” – MYNEWSHUB.CC