SEORANG lelaki warga emas dari Wuxi, wilayah Jiangsu, China digelar hero oleh penduduk setempat selepas sanggup membahayakan dirinya mengalihkan tong gas yang terbakar dari rumah jirannya dalam kejadian pada 2 Disember lalu.
Cai Daifeng berusia 63 tahun difahamkan baru sahaja pulang ke rumahnya dan mendapati dapur jirannya telah dijilat api.
Menurut media tempatan negara itu, jiran Daifeng yang dikenali sebagai Wang sedang memasak dan berlaku kebocoran pada hos gas lalu mencetuskan kebakaran. Wang dipercayai melecur agak teruk dalam insiden tersebut.
Apabila melihat situasi semakin memburuk, Daifeng pantas membalut tangan kanannya dengan kain basah dan cuba membawa tong gas yang terbakar itu keluar dari dapur berkenaan.
Disebabkan api yang marak, Daifeng terpaksa menggunakan penggaruk untuk mengalih tong gas terbabit ke kawasan terbuka demi keselamatan jiran-jirannya yang lain.
Daifeng mengheret tong gas yang terbakar itu sambil berlari jauh dari kawasan perumahan dan menghumbannya ke dalam sebuah kolam.
Video kejadian tersebut viral di laman sosial negara itu dan Daifeng dihujani pelbagai pujian daripada netizen atas keberaniannya.
Menurut salah seorang jiran, itu bukan kali pertama Daifeng melakukan kebaikan. Pada musim sejuk 2014, dia pernah menyelamatkan seorang wanita dari lemas di sungai. – MYNEWSHUB.CC