KUANTAN – Seorang ejen insurans maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 63, Jalan Nenasi-Rompin, Pekan semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek berkata pada kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa Samzilah Mohamad, 39, yang memandu kereta jenis Honda Civic disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin.
Dua anak mangsa Yasmin Sofiah Mahfduz, 10, dan Marisa Amani, 7, pula cedera.
“Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta mangsa yang dalam perjalanan dari Pekan ke Rompin hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
“Pertembungan itu menyebabkan lori tersebut berpusing dan terbalik di tengah jalan sebelum dilanggar pula oleh sebuah lagi kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah belakang,” katanya.
Amran menambah pemandu lori tersebut Tan Yee Shen, 21, dan kelindannya Low Kian Tak, 37, patah kaki manakala pemandu Proton Saga itu Mohd Fadhli Shah Alauddin, 34, dan anaknya Muhammad Farish Ahnaf, 7, serta ibunya Azizah Mohamad, 67, tidak cedera.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA