KUALA TERENGGANU – Sepuluh individu termasuk pelajar dan dua wanita diberkas bersama pelbagai jenis dadah dan air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Nyiur Tujuh, Besut, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam setor belakang rumah tersebut kita menjumpai satu kotak polisterina mengandungi empat botol berpenutup merah.
“Di dalamnya mengandungi cecair kehijauan disyaki air rebusan ketum serta satu botol berpenutup mengandungi cecair kehitaman disyaki dadah.
“Selain itu kita turut menjumpai satu bekas bulat berpenutup bertulis ‘Eagle Pomade’ di bawah kepingan batu konkrit di tepi longkang yang mengandungi lebih 100 biji pil disyaki pil kuda,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA