SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyaman 25 warga asing disaman kerana memandu tanpa lesen dalam Ops Warga Asing di sekitar Selangor yang bermula 1 Jan lepas sehingga semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata dalam operasi itu pihaknya turut menyita sembilan kenderaan persendirian dan perdagangan yang dipandu oleh warga asing bagi tujuan pemeriksaan.
“Kesemua warga asing ini ada memandu kenderaan persendirian dan perdagangan dan terdiri daripada tujuh warga Pakistan, India (dua), Indonesia (tujuh), Bangladesh (1), Syria (1), Myanmar (lima) dan masing-masing seorang warga Yaman dan Kemboja.
“Saman tidak hanya dikeluarkan kepada pemandu, malah pemilik kenderaan yang dipandu mereka turut akan dikenakan saman,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Plaza Tol Batu Tiga di sini malam tadi.
Operasi itu berjalan serentak di tujuh lokasi seluruh Selangor yang dikenal pasti sebagai lokasi panas di mana ramai warga asing memandu kenderaan.
Operasi itu disertai 115 anggota JPJ dan 21 anggota Jabatan Imigresen Selangor.
Lebih 500 kenderaan diperiksa dan 173 saman melibatkan kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan memandu tanpa cukai jalan dikeluarkan dalam operasi yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga pukul 12 tengah malam itu.
Dalam operasi yang sama, Jabatan Imigresen menahan enam warga asing termasuk seorang wanita kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri.
Penolong Penguasa Imigresen Selangor, Mohd Sayuti Ayub berkata kesemua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Shah Alam. – BERNAMA