KUALA LUMPUR – Lapan bulan menerajui Sarawak selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada Mei tahun lalu, seorang pemimpin yang berjaya menambat hati rakyat melalui pendekatan ‘politik kesejahteraan’, Tan Sri Adenan Satem, menghembuskan nafasnya yang terakhir hari ini.
Allahyarham Adenan meninggal dunia pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan, Kuching.
Bakal menjangkau usia 73 tahun pada 27 haribulan ini, Allahyarham merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.
Pada PRN yang lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.
Adenan, 72, meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki.
Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.
Memulakan kariernya sebagai Majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.
Perjalanan karier Allahyarham sebagai Ketua Menteri bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum menyandang jawatan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak yang kebanyakannya mengendalikan isu berkaitan tanah.
Sebagai tokoh politik yang banyak menabur jasa dan khidmat khususnya dalam pembangunan negeri Sarawak, Allahyarham dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’, selain Pingat Perkhidmatan Bakti Negeri Sarawak dan Johan Bintang Sarawak pada 1986.
Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu disegani.
Mengimbas kembali bait-bait ucapannya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRN-11 PBB Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, April tahun lalu: “Sebagai seorang yang pernah memegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri, saya tidak ‘gilakan pangkat’.
“Apa yang saya mahu ialah melihat taraf hidup masyarakat terus dipertingkatkan, lihatlah apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun saya dilantik sebagai Ketua Menteri.” – BERNAMA