SEORANG pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Onn, Batu Pahat, tidak menyangka aksinya bantu mengawal lalu lintas pada Khamis, menjadi tular di media sosial.
Menurut Muhammad Syameel Mad Daud, 16, dia nekad bertindak sedemikian selepas mendapati lampu isyarat di persimpangan Jalan Rugayah, di situ, tidak berfungsi kerana bekalan elektrik putus.
“Semasa kejadian, saya dalam perjalanan pulang daripada aktiviti kokurikulum, dengan menunggang motosikal, namun motosikal saya tidak bergerak dalam tempoh yang lama tetapi bila sampai di sini, rupanya lampu isyarat rosak.
“Tanpa berlengah lagi setelah turun daripada motosikal, saya terus ke tengah jalan bantu menyuraikan kesesakan ini, saya tiada niat lain hanya untuk membantu pengguna jalan raya yang lain.
“Saya tak sangka gambar saya cuba bantu menyelesaikan kesesakan jalan raya di persimpangan jalan akibat lampu isyarat terputus bekalan elektrik itu menjadi tular di media sosial terutamanya di laman Facebook,” katanya kepada Sinar Online.
Setelah 15 minit mengawal lalu lintas, Syameel memberitahu, beberapa anggota polis trafik tiba mengambil alih untuk mengawal keadaan.
Anggota polis trafik terbabit turut menasihatinya agar tidak melakukan lagi kerana ianya mungkin membahayakan nyawanya sendiri.