SENSASI bolasepak tempatan kini bukan lagi pada isu nasional mengenai ranking tercorot Harimau Malaya dalam carta Fifa. Atau isu hooligan yang mencapai tahap menakutkan sejak tiga musim yang lalu.
Tema debat bolasepak kini beralih menjadi caca-marba. Sudah menghala ke arah perang moral untuk saling menjahanamkan satu sama lain.
Agak sedih melihat nasib Tan Sri Annuar Musa. Perang psikologi dalam bolasepak kini menjurus pada serangan pembunuhan karektor. Bolasepak dalam debat popular hari ini telah menyeret sukan dunia ini sebagai medium jenayah dan skandal.
Annuar diserang kerana isu kononnya menggunakan kedudukan untuk mendapatkan penajaan. Bahawa, kedudukannya sebagai Pengerusi Mara telah dikaitkan dengan dana meragukan dalam menaja pasukan Kelantan.
Anehnya, pernahkah kita berfikir: Kalau Annuar dianggap menggunakan wang awam untuk membantu bolasepak Kelantan – apakah Felda menggunakan dana dari langit untuk pasukan Liga Supernya?
Apakah Kedah membelanjakan bajet RM30 juta setahun hasil tajaan komersil sektor korporat? Apakah semua skuad yang ada dalam Liga Malaysia mempunyai dana penaja dan bebas penggunaan wang awam?
ATM dan Polis menggunakan dana dari mana? Sabah dan Sarawak: Apakah dananya berasaskan sumbangan yang bebas daripada akaun Kerajaan Negeri?
Kes Annuar unik dan klasik. Annuar mengetuai persatuan yang tidak mendapat dana Kerajaan Negeri. Bukan salah Kerajaan Negeri pun, kerana berdasarkan bajet yang ada – Kerajaan Kelantan tidak mampu membantu skuad TRW.
Menyerang dan meletakkan Annuar dalam keadaan seperti penjenayah sukan adalah tidak wajar. Mengaitkan tajaan institusi sebagai pengkhianatan terhadap wang awam adalah pertuduhan terpilih.
Tuduhlah Felda, Kedah, ATM dan PDRM sekali gus. Malah, semua pasukan negeri pasti akan ada akaun sumbangan yang berkaitan dana awam.
Justifikasi Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim bahawa penajaan ke atas JDT kerana pasukan itu terkemuka di Asia dan memenangi banyak piala, adalah alasan komersil.
Ia bukan kenyataan yang berjiwa besar. JCorp nampaknya hanya berbangga menaja JDT kerana ia pasukan popular. Kalau itulah mentaliti penajaan sektor korporat, ia gambaran dinasaur yang tidak mengenali erti ehsan.
Bolasepak di negara ini belum pun sukan berkelas Asia mahu pun dunia. Sekali anda merangkul piala cap ayam Asia, bukanlah bererti anda ayam laga terbilang!
Bolasepak memerlukan lebih dari semangat menumpang glamor. Penaja harus ada sikap menyumbang pada sukan yang menjadi alat penyatuan. Bolasepak sukan yang mengangkat keamanan dan perpaduan. Malah kini menjadi agen pelindungan kepada kanak-kanak. Nilai komersil bolasepak dunia dibangunkan oleh jenama yang berasaskan pada aspirasi kemanusiaan.
Tanyalah penaja-penaja besar dunia: Apakah mereka memikirkan soal duit semata-mata?
Realitinya, jenama besar menyertai sukan ini kerana tarikan nilai kemanusiaan dalam agenda sejagatnya.
Lihatlah bolasepak dengan jiwa besar. Anda boleh kelihatan seperti bos mafia dalam iklan komersil. Namun, sikap mafia bukan keadah dalam menguruskan bolasepak.
Anda boleh menang Piala Kelab Dunia pun. Namun bolasepak bukan soal piala semata-mata. Brazil menjadi hebat kerana bolasepak dilihat sebagai sukan aspirasi pada anak-anak miskin yang kurang berjaya dalam pendidikan.
Di Eropah, walaupun model pelaburan bolasepak kini sudah komersil, namun naratifnya tetap bersifat konservatif.
Ia mengenai maruah kelab domestik dan imej negara bangsa.
Sudahlah! Hentikan debat caca-marba. Tidak kiralah anda siapa. Raja atau menteri. Anda memimpin bolasepak dan bukan gengster bolasepak. Hormati bolasepak sebagai sukan yang mempunyai intergriti. Bukan menjadikan bolasepak sebagai sukan kemegahan diri.
Anda Johor atau Perlis. Anda Kelantan atau Sabah. Ia hanya sempadan negeri. Kita semua bekerja untuk bolasepak Malaysia dan bolasepak dunia. Ini kerana bolasepak adalah sukan yang mendokong keamanan dan perpaduan dunia.
Ingat! Bolasepak sedang melindungi berbilion kanak-kanak dunia. Anda jangan merosakkannya. – MYNEWSHUB.CC