PUTRAJAYA – Ladang penghasilan makanan di negara ini perlu mempraktikkan amalan pertanian baik, selamat dan berkualiti bagi meningkatkan daya saing produk pertanian Malaysia di peringkat antarabangsa, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata ini penting untuk menjamin sumber makanan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus memberikan kesihatan yang seimbang kepada rakyat.
Katanya sesuatu produk akan lebih diyakini apabila satu piawaian berkualiti ditetapkan untuk menghasilkan produk selamat untuk dimakan.
“Kalau dahulu, peniaga nasi lemak menggunakan tangan untuk meletakkan telur tetapi sekarang mereka telah meningkatkan kualiti itu dengan memakai sarung tangan atau menggunakan penyepit,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvensyen myGAP dan myOrganic 2016 di sini, hari ini.
Seramai 973 peserta menerima sijil myGAP (Skim Amalan Pertanian Baik) manakala 15 lagi menerima sijil myOrganic pada konvensyen itu.
Ahmad Shabery dalam pada itu berkata kemajuan sesebuah negara diukur melalui keselamatan makanan seperti Singapura, walaupun amat kurang menghasilkan makanan sendiri, tetapi diletakkan antara yang teratas dari segi jaminan makanan.
“Kita mahu industri agro makanan menyumbang antara 6 hingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun, berbanding dengan 3.5 peratus sekarang.
“Oleh itu, industri ini perlu menuju ke arah menyediakan makanan berasaskan bekalan, kemampuan rakyat serta keperluan nutrisi dan keperluan makanan,” katanya. – BERNAMA