GARA-GARA dilihat bertemu dengan seorang lelaki berpangkat Datuk, muncul gosip menyatakan penyanyi dangdut Amelina sedang menjalin hubungan cinta.
Terkejut dengan gosip itu, Amelina lantas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Sebaliknya menjelaskan, lelaki tersebut hanyalah kenalannya yang berbincang mengenai tawaran persembahan nyanyian saja.
“Saya sendiri terkejut apabila mendengar cerita itu. Ya, memang saya ada bertemu dengannya, tetapi untuk berbincang hal-hal berkaitan persembahan dan kerjaya saya sebagai penyanyi.
“Mungkin ramai yang salah faham dan menganggap saya menjalin hubungan dengan Datuk itu. Saya jelaskan di sini, itu semua hanyalah khabar angin dan tidak benar.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan bayaran persembahan dan sebagainya kerana sebelum ini saya pernah menggunakan ejen, namun bayaran yang saya terima selepas persembahan tidak seperti yang dijanjikan.
“Jadi, rasanya lebih mudah jika saya bertanya terus kepada mereka yang menjadi penganjur untuk persembahan saya,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Amelina akui dia kini lebih selesa dan tenang meskipun berstatus ibu tunggal kepada enam anak.
Pun begitu, dia berjanji sekiranya dia ingin mengakhiri zaman jandanya dia akan berkongsi kepada para peminat. – MYNEWSHUB.CC