PASANGAN selebriti Shuib Sepahtu dan Siti Sarah mengalami detik cemas apabila anak kedua mereka yang berusia 4 tahun, Talita, hilang di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, semalam.
Menurut satu sumber menerusi Forum Cari, anak perempuan pasangan ini hilang ketika mereka sekeluarga sedang membeli-belah di kompleks berkenaan.
Pasangan ini bagaimanapun bernasib baik apabila anak perempuan mereka berjaya ditemui semula satu jam kemudian dalam keadaan yang selamat.
Siti Sarah menerusi akaun Instagramnya turut mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan dia turut mengakui kesilapan dirinya.
“Semalam satu pengajaran dalam hidup saya.. Zakira Talita Zahra hilang di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur! Ia hanya perlukan 5 saat untuk terjadi.. Salah ibu ya saya akui, patutnya ibu ikat anak ibu,” tulisnya.
Pada masa yang sama, penyanyi lagu Kesetiaan ini turut mengucapkan terima kasih kepada pekerja Monorel bernama Aisyah yang telah menjaga anaknya ketika kehilangan itu. – MYNEWSHUB.CC