SEMUA maklum bahawa selebriti Hollywood, Angelina Jolie memang tidak asing lagi dengan tindakan murni mengambil anak angkat dari negara berbeza benua.
Angelina mengambil tiga orang anak angkat iaitu Maddox, 15 tahun; dari Kemboja, Pax, 13 tahun; dari Vietnam dan Zahara, 10 tahun; dari Habsyah.
Namun, berita terbaharu nyata memberi kejutan kepada pelakon filem Maleficent ini apabila ibu kandung kepada anak angkatnya, Zahara tampil merayu mahu bertemu dan melepaskan rindu terhadap anaknya.
Daily Mail melaporkan, Mantewab Dawit Lebiso, 31, tiba-tiba muncul selepas meninggalkan anaknya kira-kira 10 tahun lalu di sebuah rumah kebajikan.
Menurutnya, dia hanya mahu diberikan peluang untuk bercakap dengan Zahara namun ia adalah perkara yang sukar dilakukan.
“Saya hanya mahu melepaskan kerinduan dan bukan mahu meminta wang pelakon itu,” katanya.
Angelina mengambil Zahara dari sebuah rumah kebajikan di Ethiopia ketika kanak-kanak tersebut berusia enam bulan.
Media tempatan antarabangsa melaporkan, Zahara adalah anak yatim piatu selepas ibunya yang berusia 18 tahun meninggal dunia akibat penyakit AIDS.
Bagaimanapun, Mantewab Dawit kemudiannya tampil dan mendedahkan dia belum meninggal dunia dan keluarganya telah menyerahkan Zahara kepada keluarga angkat selepas dia melarikan diri dari rumah.
Pasangan selebiriti itu tidak mengetahui bahawa ibu kanak-kanak tersebut masih hidup.
Pengambilan Zahara sebagai anak angkat kini menimbulkan persoalan dan dia yang semakin meningkat dewasa kini sering memberitahu Angelina mengenai dia mahu pulang ke Habsyah untuk tinggal bersama ibu kandungnya.
Selain tiga orang anak angkat, Angelina turut dikurniakan tiga orang anak iaitu Shiloh Nouvel, Know Leon dan Viviene Marcheline hasil dari perkahwinan dengan pelakon Brad Pitt. – MYNEWSHUB.CC