BAGAN DATUK – Anggota Jalinan Rakyat (JR) perlu mengetahui secara jelas kehendak pengundi jika mahu meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad.
Beliau yang juga anggota Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Negeri berkata dengan mengetahui kehendak pengundi ia membantu dalam merancang strategi ke arah memenuhi keperluan rakyat.
“Kita perlu kenal siapa pengundi, di mana pengundi berada serta mendalami masalah mereka, apa yang mereka mahu supaya kita dapat memenuhi permintaan dan kehendak mereka,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Himpunan Jalinan Rakyat Perdana 2017 Pergerakan Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk sempena program pemukiman Menteri Besar Perak di Bagan Datuk di sini hari ini.
“Jika kita buat kerja dengan betul dan teratur, kita boleh mengulangi kemenangan besar seperti PRK Kuala Kangsar (Jun 2016),” katanya. – BERNAMA