SEKUMPULAN anggota polis di bandar Xi’an, China diberikan latihan khusus gara-gara terdapat banyak aduan daripada masyarakat stempat terhadap layanan buruk yang diterima.
Seramai 20 anggota polis telah dihantar untuk menjalani latihan senyum ini bertempat di sebuah hotel bertaraf lima bintang, awal bulan ini lapor Merdeka.com.
Aduan dan rungutan yang diterima daripada masyarakat setempat turut mendapat perhatian daripada sebuah program televisyen tempatan negara itu berkaitan layanan dan sikap tidak ramah anggota polis terhadap warga tempatan yang datang ke balai polis.
Latihan senyum ini merupakan satu perkara biasa di dalam beberapa profesion di China seperti atendan penerbangan di mana mereka harus tersenyum sambil memegang chopstick di dalam mulut untuk mendapatkan sebuah senyuman yang sempurna.
Sebagai respon kepada aduan yang diterima, jabatan polis cawangan Chang’an telah merangka latihan senyum selama tiga bulan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan anggotanya.
Ketua Biro Keselamatan Awam Polis Cawangan Chang’an, Li Huxian berkata latihan ini merupakan langkah pertama bagi mengatasi masalah tersebut.
“Pegawai kami tidak semestinya dapat memenuhi standard orang ramai dalam memberikan perkhidmatan yang baik tetapi senyuman dari hati yang ikhlas mencerminkan etika kerja kami.
“Senyuman juga membuatkan orang berasa dialu-alukan,” katanya kepada pemberita tempatan.
Inisiatif yang dibuat itu diterima baik oleh netizen dan ramai yang membicarakan mengenai perkara tersebut menerusi laman mikro Weibo.
“Ini perkara yang bagus. Banyak polis sekarang yang tidak sopan,” komen salah satu pengguna. – MYNEWSHUB.CC