KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa meningkatkan keupayaan anggotanya untuk menangani ancaman luar di perairan negara termasuk pencerobohan nelayan asing yang dikatakan menerima latihan separa tentera.
Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata langkah itu penting bagi memastikan kesemua anggotanya sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi kemungkinan ancaman itu pada bila-bila masa.
Beliau berkata APMM mengambil pendekatan melatih anggotanya dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk kemampuan memintas maklumat yang dihantar penceroboh asing menerusi sistem komunikasi kepada pihak tertentu.
Ahmad Puzi berkata pihaknya juga ada menghantar anggotanya mengikuti kursus bahasa dalam usaha mengukuhkan keupayaan mereka menguasai pelbagai bahasa asingĀ sekali gus melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan.
“Dalam hal ini, kita mesti bukan sahaja faham berbahasa Melayu dan Inggeris tetapi perlu menguasai pelbagai bahasa…kita kena latih anggota memahami bahasa Jepun, Cina, Filipina dan sebagainya.
“Kalau kita hendakkan operasi kita itu berlandaskan informasi, maka kita harus mempunyai kelebihan dalam memintas, memahami dan menganalisis maklumat sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan International Advanced Boarding Officer’s Course (IABOC) 2017 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dekat sini hari ini yang dihadiri 18 peserta termasuk dari Djibouti, Kenya dan Tanzania.
Ahmad Puzi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menyatakan kerajaan menerima maklumat terdapat nelayan sebuah negara asing mendapat latihan separa tentera untuk menceroboh perairan negara ini bagi menangkap ikan.
Ia dibuktikan menerusi laporan media asing mengenai tindakan nelayan negara berkenaan yang sanggup merempuh kapal pihak berkuasa termasuk kapal APMM.
Shahidan dipetik sebagai berkata nelayan asing itu datang secara agresif dalam kumpulan terdiri daripada ratusan bot besar hingga menyebabkan mereka berani melanggar bot penguat kuasa Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Puzi berkata pihaknya berhasrat menjadikan AMSAS sebagai pusat latihan maritim bertaraf dunia suatu hari nanti dan ketika ini merancang melengkapkannya dengan pelbagai sistem simulator untuk melatih anggota maritim dari dalam dan luar negara. – BERNAMA