KUALA TERENGGANU – Tiga sekolah terpaksa ditutup pagi ini kerana terjejas akibat banjir menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang ditutup hari ini adalah enam di Terengganu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk di Hulu Terengganu (12 guru dan 54 murid), SK Pasir Akar di Besut (45 guru dan 521 murid) dan SK Padang Kubu di Kemaman (25 guru dan 240 murid).
“Tiga sekolah ini sepatutnya boleh berjalan seperti biasa pagi ini, namun disebabkan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan di Besut dan Kemaman, semua sekolah ini terpaksa ditutup pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, Bernama melaporkan tiga sekolah dijadualkan ditutup hari ini iaitu SK Sungai Las (50 murid dan 13 guru), SK Kampung Besut (116 murid dan 18 guru) serta SK Getang di Hulu Terengganu (27 guru dan 151 murid).
Sementara itu di BESUT, Pegawai Pendidikan Daerah, A Halim Hassan berkata tinjauan terhadap SK Pasir Akar mendapati sekolah berkenaan dinaiki air antara 0.7 hingga 1.2m pagi ini sekali gus menyebabkan ia tidak selamat untuk memulakan sesi persekolahan pagi ini.
Ini kerana 14 daripada 25 bilik darjahnya terutamanya yang terletak di bahagian bawah telah dinaiki air.
“Sekolah ini merupakan sekolah pertama di daerah ini yang diarahkan tutup setelah air dari limpahan Sungai Besut di Pasir Akar memasuki kawasan sekolah di samping limpahan air dari anak-anak sungai berdekatan sekolah pagi ini,” kata A Halim.
Beliau juga memberitahu setakat ini Jalan Jerteh ke Keruak, Hulu Besut telah terputus hubungan dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan kerana dinaiki air di KM13 dekat kawasan Gertak Jerbun dan KM23 dekat Kampung Bekok.
“Ini telah menyukarkan guru-guru yang bertugas di lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payung untuk pergi mengajar pagi ini.
“Namun sesi persekolahan tetap diteruskan kerana keadaan di sekolah berkenaan adalah selamat dan terkawal,” katanya.
Mengenai 15 guru SK Pulau Perhentian, Besut yang terkandas dan tidak dapat pergi ke sekolah akibat laut bergelora semalam, beliau memberitahu mereka masih belum dapat pergi ke sekolah hari ini.
A Halim berkata demi keselamatan, mereka telah dinasihatkan tidak pergi ke sekolah kerana belum ada bot yang beroperasi untuk membawa mereka ke sana setakat ini.
“Walau bagaimanapun sesi persekolahan di sekolah itu berjalan seperti biasa kerana terdapat dua guru yang tinggal di pulau berkenaan yang mampu menguruskan pengajaran dan pembelajaran murid di sana,” katanya.
Bagi guru-guru yang gagal untuk ke sekolah akibat jalan menuju ke sekolah mereka dinaiki air, beliau menasihatkan mereka supaya melaporkan diri ke sekolah-sekolah yang berdekatan. – BERNAMA