BANGKOK – Hujan lebat terus memburukkan lagi keadaan banjir di selatan Thailand semalam ketika angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 12 orang dan ribuan rumah ditenggelami air.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, bencana yang bermula sejak seminggu lalu kini menjejaskan lebih 700,000 penduduk.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan banjir itu juga menyebabkan banyak jalan raya terputus, kawasan pertanian musnah dan merosakkan lebih 1,500 sekolah di rantau itu.
Jabatan Meteorologi memberi amaran, hujan lebat dijangka berterusan dua hari lagi yang mungkin mencetuskan banjir kilat.
“Keadaan sangat teruk pada dua hari ini kerana hujan masih lebat,” kata pegawai meteorologi, Junjuda Pornsri.
Askar di beberapa pangkalan tentera di rantau itu juga digerakkan bagi membantu mangsa banjir, membina pusat perlindungan dan mengedarkan bantuan kecemasan.
Di wilayah Nakhon Si Thammarat yang paling teruk terjejas, dua helikopter tentera dikerahkan menyelamat penduduk kampung yang terperangkap selepas kediaman mereka ditenggelami air di daerah Cha-uat.
Seorang penduduk, Bapha Suthiphanya, 60, berkata, dia terpaksa berpindah ke pusat perlindungan selepas rumahnya hampir ditenggelami air.
“Saya sangat takut dan terkejut. Saya tidak pernah melihat banjir seperti ini dan saya juga tidak pandai berenang,” katanya. – AFP/myMetro Online