LIPIS – Warga emas, Tan Boon Sui sepatutnya menaiki bas ke ke Bachok Kelantan esok, untuk menyambut Tahun Baharu Cina namun impian itu berkubur selepas rumahnya di Kampung Sungai Lik di sini, dinaiki air.
Tan, 77, berkata tiket bas yang dibelinya dua minggu lalu antara barang pertama yang dicapainya semasa menyelamatkan diri, namun selepas melihat rumahnya dinaiki air ke paras lutut, beliau sedar ‘tiket itu sudah tidak berguna’.
“Saya tidak boleh tinggalkan rumah begini. Sekalipun air surut sebelum Tahun Baharu Cina, saya perlu membersihkan rumah… kerja itu tidak boleh siap dalam tempoh sehari,” katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini.
Tan bagaimanapun bersyukur kerana hanya beliau seorang berada di rumah semasa kejadian.
Anggota keluarganya yang lain sudah pulang ke Bachok untuk membuat persiapan Tahun Baharu Cina.
“Jika kami menyambut perayaan di sini, sudah pasti lebih banyak kerugian.
“Sekarang pun saya rasa peti sejuk yang baharu dibeli sebulan lalu sudah rosak. Begitu juga dengan peralatan elektrik lain. Barang yang ringan pula habis dihanyut air,” kata Tan.
“Nasib baik ada anak jiran tolong pindahkan motosikal saya termasuk yang baharu dibeli Okt lalu. Motosikal itu disimpan di dalam rumah dan jarang digunakan. Meter perjalanannya pun belum mencecah 100 kilometer,” katanya.
Penoreh getah itu berkata hari ini beliau akan bermalam di surau kampung itu, yang dijadikan pusat pemindahan sementara bagi menempatkan beliau dan dua keluarga lain di kampung itu yang terjejas akibat banjir.
Sementara itu, Rosmawati Che Seman, 36, berkata keluarganya merupakan ‘mangsa banjir pertama’ di negeri ini, selepas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengarahkanya untuk berpindah pada pukul 10.30 pagi memandangkan rumahnya dinaiki air ke paras paha.
Katanya, sejak pukul 2 pagi beliau tidak lena tidur dan kerap memeriksa bahagian dapur rumahnya yang berdekatan dengan sungai, sebelum menyedari hujan semakin lebat pada pukul 4 pagi.
Rosmawati menambah suaminya, Zambri Ibrahim, 49, membuat keputusan untuk meninggalkan rumah sekitar pukul 6 pagi selepas air di bahagian dapur mencapai paras lutut kerana bimbang dengan keselamatan anak mereka yang berusia tiga dan setahun.
Katanya, sejak pukul 2 pagi beliau tidak lena tidur dan kerap memeriksa bahagian dapur rumahnya yang berdekatan dengan sungai, sebelum menyedari hujan semakin lebat pada pukul 4 pagi.
Rosmawati menambah suaminya, Zambri Ibrahim, 49, membuat keputusan untuk meninggalkan rumah sekitar pukul 6 pagi selepas air di bahagian dapur mencapai paras lutut kerana bimbang dengan keselamatan anak mereka yang berusia tiga dan setahun.
“Kami memang tinggal sehelai sepingggang semasa keluar rumah. Petang ini baru anggota APM bantu kami pulang ke rumah sebentar untuk ambil dokumen penting dan sedikit keperluan seperti pakaian, lampin pakai buang dan makanan anak,” katanya.
Menurut Rosmawati kejadian itu adalah dugaan kedua buat keluarganya selepas rumah sewa mereka di Kampung Limau Purut di sini, terbakar pada 12 Dis lalu, menyebabkan mereka menetap di Sungai Lik sementara menunggu keputusan permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Sementara itu, seorang lagi mangsa Masuita Ismail, 41, bersyukur kerana sempat memindahkan barangan elektrik di dapur ke ruang tamu yang agak tinggi selepas menyedari air mulai naik di perkarangan belakang rumah pada pukul 5.45 pagi.
“Saya rasa tidak sedap hati sebab air terlalu cepat naik dan hujan pula tidak berhenti-henti. Jadi saya minta suami Zulkifli Mat Hussein, 41, untuk bantu alihkan barang sebelum keluar bekerja,” katanya.
Katanya, itu merupakan kali pertama rumahnya dinaiki air memandangkan sebelum ini hujan lebat hanya menyebabkan air bertakung di perkarangan rumah, walaupun banjir pernah melanda kampung itu pada 2014.
“Banjir kali ini juga menyebabkan jalan utama kampung dari arah Mela terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan.
“Nasib baik laluan dari arah Jerantut masih boleh digunakan. Jika tidak kami pasti terkepung di sini,” katanya. – BERNAMA